Friday, 28 April 2017

Lost World Of Tambun

Tahun lepas, saya sekeluarga berpeluang bercuti ke Lost World of Tambun sempena menyambut ulang tahun yang ke-3 putera kesayangan saya, Luqman Hakim.

Saya telah membeli tiket dan baucar penginapan semasa mengunjungi MATTA Fair yang diadakan di PWTC pada bulan September 2016.

Kami tiba seawal 10:00 pagi di sini. Selepas selesai urusan daftar masuk ke hotel, kami membawa pakaian mandi dan terus ke Lost World of Tambun. Taman tema ini terletak lebih kurang 50 meter di hadapan hotel.

Luqman dan Farhana amat teruja apabila melangkah kaki ke taman tema ini. Kedatangan kami disambut oleh patung-patung kucing yang cantik di pintu masuk Lost World of Tambun.

Kami memilih untuk menikmati keseronokan di taman hiburan dan zoo sebelum menukar pakaian untuk mandi di taman tema air.

Anak-anak saya begitu teruja untuk menunggang Carousel, buai pusing, kapal berayun, roller coaster dan permainan lain yang lazimnya terdapat di taman hiburan kanak-kanak. Tram juga disediakan untuk pengunjung mengelilingi taman tema ini.






Selepas puas bermain, kami melawat ke Petting Zoo untuk melihat haiwan dengan lebih dekat. Semak jadual aktiviti agar dapat memanfaatkan peluang melihat persembahan dan masa makan haiwan dengan lebih dekat.

Belum sempat menjelajahi kesemua keunikan di sini, anak-anak sudah tidak sabar untuk mandi dan bermain di taman tema air. Kami menukar pakaian dan terus mandi di kolam kanak-kanak yang dilengkapi dengan permaianan dengan susun atur yang menarik.

Mama menjaga barang sambil berehat di bawah gazebo yang disediakan. Saya pula sibuk memerhatikan dan melayan kerenah anak-anak bermain. Sungguh gembira anak-anak  bersesuaian dengan fitrah mereka yang suka bermain.






Kedai makan dan kiosk yang menjual pelbagai pilihan makanan banyak terdapat di sini. Terpulang kepada selera dan bajet. Penat bermain dan perut sudah lapar, saya membeli makanan di medan selera yang terletak bersebelahan gazebo. Saya membeli nasi ayam, popiah rangup, ayam goreng, air batu campur, ais krim, air buah dan air soya. Makanan sedap dan harga berpatutan. Saya lebih suka mencuba makanan tempatan di tempat yang saya kunjungi.


Selepas mengisi perut, Luqman dan Farhana sambung berendam. Saya menyewa pelampung besar untuk menyusuri sungai bersama anak-anak. Sepanjang pengembaraan, kami disajikan dengan pemandangan indah dan keseronokan yang berbeza. Kami merasai pengalaman mandi di air terjun, bermain ombak, melihat haiwan di zoo, melihat pengunjung bermain roller coaster dan pelbagai pengalaman baru yang menyeronokan. Adventure River ini adalah sungai buatan yang terpanjang di Asia Tenggara. Kami mengambil masa lebih 1 jam menyusuri sungai.

Selepas menyusuri sungai, saya membawa anak-anak bermain pasir di pantai buatan dan mandi di kolam mandi besar. Puas seharian mandi dan bermain air, kami menukar pakaian dan balik ke hotel.

Kami menginap di Lost World Hotel. Bilik kami mengadap ke kawasan perumahan. Jika ingin pemandangan Taman Tema,bolehlah menempah bilik yang lebih mahal. Bilik kami dilengkapi katil twin dan sofa panjang di tepi tingkap.

Selepas mandi, kami minum teh dan kopi serta makanan yang dibawa. Seperti biasa kami membawa sedikit Maggi Cup, biskut, makanan ringan dan minuman paket 3 in 1 untuk makan di dalam bilik sambil menonton televisyen.

Selepas maghrib, saya dan Farhana bersiap untuk menikmati kemeriahan pada waktu malam di Lost World Hot Spring & Spa by Night. Mama terlalu penat dan ingin berehat di bilik bersama Luqman.










Kami mandi di kolam air panas, menyaksikan persembahan haiwan dan mengunjungi Petting Zoo.
Saya lebih suka berehat di sini pada waktu malam kerana cuaca sejuk dan kurang sibuk. Berendam di kolam air panas dapat menyegarkan badan dan merehatkan fikiran sebagai ganjaran selepas penat dengan aktiviti seharian.

Selepas puas berendam, kami menukar pakaian. Selepas itu membeli makanan untuk makan malam. Saya membeli mee kari, jagung rebus dan air soya. Singgah sebentar membeli cenderamata untuk dihadiahkan kepada keluarga dan rakan. Saya membeli key chain dan fridge magnet.

Malam itu kami tidur nyenyak kerana kepenatan.

Keesokannya, kami bangun awal untuk bersarapan. di Garden Terrace yang terletak berdekatan pintu masuk ke Lost World of Tambun. Menu menarik dan sedap. Saya memilih untuk mencuba makanan tradisional Ipoh seperti kueytiow sup dan mee kari di samping makanan lain yang menyelerakan.










Selepas makan, kami mengambil peluang bergambar sebelum mengucapkan selamat tinggal.

Kami pulang ke hotel, daftar keluar  dan menunggu teksi untuk membawa kami ke Stesen Keretapi Ipoh untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Percutian kami ke sini meninggalkan kenangan manis dalam diri anak-anak. Percutian bajet untuk seisi keluarga dengan nilai terbaik.

PERBELANJAAN SAYA

Pengangkutan:
Menaiki ETS dari KL
Dewasa          RM35
Kanak-kanak RM22

Tambang teksi dari bandar Ipoh ke Tambun RM30


LOST WORLD HOTEL
2 Hari / 1 Malam
Termasuk :
Penginapan 1 malam di Bilik Exotic Lost World Hotel
2 Sarapan Pagi
2 tiket masuk ke Lost World Hot Springs & Spa by Night
RM180.00 bersih


LOST WORLD OF TAMBUN
Tiket masuk
Dewasa         : RM 48.75 bersih (Harga Asal : RM65.00 bersih)
Kanak-kanak: RM 43.50 bersih  (Harga Asal: RM58.00 bersih)



Sedikit review dari saya :

Layanan dan Perkhimatan
-Taman tema dan hotel ini diuruskan oleh Sunway. Biasanya memberi layanan dan menyediakan      fasiliti yang baik
- Layanan baik dan mesra dari pekerja di hotel dan taman tema.
- Mungkin perlu perbaiki perkhidmatan di kaunter pendaftaran bilik.
  Dua orang pekerja bertugas di kaunter. Mungkin hotel perlu menanbah lebih banyak kaunter atau
  menambah meja untuk pendaftaran bagi memudahkan pelanggan dan mengurangkan masa
  menunggu.

Nilai wang
- Sangat berbaloi dengan tawaran harga bilik yang menarik dan bayaran masuk yang berpatutan.
- Sekali bayar untuk menikmati kesemua kegembiraan di taman tema.

Hotel
- Bilik penginapan keluarga untuk 3 orang
- Bilik bersih dan selesa.

Ini adalah pendapat peribadi dari pengalaman saya berkunjung ke sini. Orang lain mungkin mempunyai pengalaman dan pendapat yang berbeza.

Di sini saya ada kongsikan serba sedikit maklumat tentang Lost World of Tambun untuk rujukan pembaca yang berminat untuk berkunjung ke sini.



Info


Taman Tema Lost World Of Tambun adalah destinasi utama percutian keluarga yang menawarkan tarikan tersendiri. Menjanjikan pengalaman menarik bersama keluarga tersayang daripada menaiki permainan kanak-kanak hinggalah mencuba aktiviti lasak. Terletak di salah satu bandar bersejarah yang kaya dengan budaya dan warisan.

Lost World of Tambun dibuka pada waktu siang.
Pada waktu malam, Lost World Hot Spring & Spa menawarkan pengalaman berendam di dalam air panas dan spa.



Lost World of Tambun


Terdiri daripada 6 taman tema iaitu :

- Lost World Water Park
  Keseronokan mandi dan bermain air yang tiada kesudahan untuk kanak-kanak mahu pun dewasa.
  Kolam renang yang luas, mencuba permainan air, membina istana pasir di tepi pantai buatan,      menyusuri sungai di atas pelampung dan meluncur laju di papan luncur , semuanya boleh dirasai  di sini.


- Lost World Amusement Park
 Antara tarikan yang terdapat di sini ialah Adventure Express, Lupe's Adventure, Perak Parade, Stormrider, Giddy Galleon, Dragon Flights, Haunted Chambers. Merasai sendiri pengalaman berbuai di udara, menunggang kuda, mengunjungi rumah hantu dan menaiki roller coaster. Kegembiraan untuk semua.


- Lost World Tiger Valley
  Mengenali lebih dekat Harimau Siberia, haiwan liar spesis kucing terbesar yang terkenal dengan kekuatan dan ketangkasan. Melihat sendiri renjer terlatih memberi makan harimau.


- Lost World Tin Valley
Ipoh dikenali sebagai pusat perlombongan bijih timah yang terkenal di Tanah Melayu.
Lost World Tin Valley merupakan galeri untuk mendidik generasi hari ini tentang sejarah perlombongan bijih timah. Pengunjung boleh melihat artifak dan mencuba sendiri aktiviti melombong bijih timah yang pernah dijalankan di sini satu masa dahulu.


- Lost World Petting Zoo
  Pengembaraan dan pengalaman yang mengasyikkan di zoo yang menempatkan 55 spesis haiwan. Berinteraksi, belajar dan mengenali tabiat haiwan, bermain serta terlibat dalam aktiviti bersama haiwan peliharaan yang jinak.

- Lost World Adventure Park
Syurga bagi penggemar aktiviti lasak. Penuh dengan keseronokan dan cabaran. Destinasi pilihan korporat mengendalikan Team Building untuk menaikkan semangat berpasukan, belajar untuk bekerja di dalam satu pasukan dan berdaya saing.



Lost World Hot Spring & Spa by Night

Bersesuaian dengan namanya, Lost World Hot Spring & Spa by Night dibuka pada waktu malam.
Berendam di dalam kolam mata air daripada 100% sumber mineral semulajadi yang menyegarkan dan menenangkan fikiran selepas penat dengan aktiviti seharian.

Kolam dengan pelbagai saiz, bentuk dan suhu air yang berbeza disediakan di sini untuk kepuasan semua pengunjung.

Crystal Spa menyediakan kemudahan spa untuk pengunjung menikmati terapi badan dengan bayaran yang ditetapkan. Spa menawarkan aromaterapi , urutan kepala & bahu di dalam suasana privassi di dalam pondok individu yang disediakan. dibuka dari 12:00 tengah hari hingga 11:00 malam.



Ipoh Street
Kedai makan yang dibina dengan mengambil inspirasi daripada kedai kopi berkonsep tradisional yang banyak terdapat di bandar Ipoh pada zaman sebelum merdeka. Pengunjung boleh menikmati makanan tradisional Ipoh selepas penat berenang dan berendam di dalam kolam air panas.


Aktiviti & Persembahan
Antara persembahan menarik yang disediakan pada waktu malam

Flaming Percussion
Masa: 07:45 malam
Lokasi: Lost World Hot Springs & Spa by Night
Isnin, Rabu & Khamis (setiap hari semasa Cuti Sekolah & Cuti Umum)

Tales of the Tribe
Masa: 08:30 malam
Lokasi: Monkey Valley
Setiap hari kecuali Selasa (setiap hari semasa Cuti Sekolah & Cuti Umum)

Apa tunggu lagi, rancanglah kunjungan ke Lost World of Tambun


Alamat :

Sunway Lost World Of Tambun
No. 1, Persiaran Lagun Sunway 1,
Sunway City Perak, Ipoh,
31150 Ipoh, Perak,
Malaysia.

Latitud: 4,625680399999999
Longitud: 101,15487239999993

Theme Park: +605 542 8888
Hotel           : +605- 540 8888
Fax              : +605- 542 8899
Facebook    : https://www.facebook.com/lostworldoftambun/
Twitter        : https://twitter.com/lwotmalaysia
Instagram   : https://www.instagram.com/sunwaylostworldoftambun/
Email          : lostworldoftambun@sunway.com.my
Website       : https://sunwaylostworldoftambun.com


WAKTU OPERASI

LOST WORLD OF TAMBUN
Isnin - Jumaat                                                : 11:00 pagi hingga 6:00 petang
Hujung Minggu, Cuti Sekolah dan Cuti Am :10:00 pagi hingga 6:00 petang
Ditutup pada Selasa, kecuali Cuti Sekolah dan Cuti Am


LOST WORLD HOT SPRINGS & SPA BY NIGHT
Dibuka setiap hari dari 6:00 petang hingga 11:00 malam
Crystal Spa dibuka 12:00 tengahari hingga 11:00 malam



Pengangkutan

Pilihan pengangkutan yang pelbagai sama ada pengangkutan awam atau menaiki kereta

Kereta
Terletak di Tambun,  Ipoh, Perak, Lost World Of Tambun  hanya 2 jam pemanduan dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang melalui Lebuhraya Utara Selatan.


Bas
Bas ekspress dari bandar besar ke bandar Ipoh.
Dari bandar Ipoh mengambil masa 20 minit perjalanan dengan teksi ke sini.


Kapal Terbang
Penerbangan terus ke Ipoh dengan Tiger Airways atau Firefly Airlines ke Lapangan Terbang Ipoh.
Dari lapangan terbang, boleh menaiki teksi ke sini.


Kereta api
Menaiki ETS dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Dari bandar Ipoh mengambil masa 30 minit perjalanan dengan teksi ke sini.

Untuk maklumat pengangkutan, sila rujuk di
https://sunwaylostworldoftambun.com/getting-here/



Bayaran Tiket
Klik https://sunwaylostworldoftambun.com/tickets-rentals/



Waktu Persembahan dan Masa Makan Haiwan
Klik https://sunwaylostworldoftambun.com/awesome-show-times-feedings/


Makanan dan Minuman
Klik https://sunwaylostworldoftambun.com/dining/


Peraturan Taman Tema
Klik https://sunwaylostworldoftambun.com/park-rules/


Kod Pakaian Renang
Klik https://sunwaylostworldoftambun.com/swimwear-dress-code/


Tips-tips ke Taman Tema

- Elakkan Masa Sibuk
  Berkunjung ketika hari bekerja untuk mengelakkan kesesakan dan barisan yang panjang untuk menaiki permainan

- Kod Pakaian Renang
  Jika mengunjungi taman tema air, pastikan menyemak kod pakaian renang yang dibenarkan

- Waktu Beroperasi
  Taman Tema ditututp pada hari tertentu. Pastikan menyemak waktu beroperasi.
  Maklumat boleh diperolehi daripada website atau menghubungi taman tema

- Semak Jadual Aktiviti
  Semak jadual aktiviti, persembahan dan masa makan haiwan agar dapat melihat dan mengambil
  bahagian dalam semua aktiviti.
 
- Rancang aktiviti
  Biasanya saya akan mengunjungi taman hiburan dan taman kering dahulu sebelum menukar baju untuk aktiviti di taman air. Jika terdapat banyak tarikan,pastikan merancang dengan baik dan mengambil peluang mengunjungi semua tarikan yang disediakan.

- Sampai awal ke taman tema
  Sampai awal untuk mendapat masa yang mencukupi untuk mencuba semua permainan dan tarikan.

- Persiapan Untuk Anak Kecil
  Pastikan membuat persiapan rapi jika membawa anak kecil seperti pakaian, lampin pakai buang kalis air,susu dan makanan bayi.


Semoga mendapat sedikit info untuk merancang percutian ....

2 comments:

  1. kalau dah masuk boleh kluar ke hotel ka?

    ReplyDelete
  2. Tiket Taman Tema boleh diguna sekali saja. Tak boleh keluar.

    ReplyDelete