Saturday, 11 November 2017

Day 4 - 4H3M Kuching, 27/10/17 - 30/10/17

Day 4

Bangun pagi, solat dan bersiap-siap untuk pulang.
Oleh kerana penerbangan kami pada pukul 3:15 petang, saya mengambil peluang untuk membawa anak-anak berenang dan membeli cenderamata di Main Bazaar.


Saya keluar untuk membeli makanan. Terjumpa Kak Saleha yang ingin ke seberang sungai membeli Kek Lapis Sarawak Mira. Saya mengambil kesempatan untuk menaiki perahu tambang. Tambang RM1 seorang/hala.





Kak Saleha membeli kek lapis yang dipesan jiran sekampung. Selepas itu saya membeli nasi lemak untuk dimakan di hotel. Selepas makan, kami turun berenang. Sambil berenang, saya dapat menikmati keindahan sungai kerana kolam  renang terletak di tepi sungai.



Selepas puas berenang, kami naik ke bilik untuk bersiap. Saya mendapatkan GrabCar untuk Kak Saleha ke airport. Kak Saleha bertolak awal ke Penang menaiki penerbangan MAS dengan transit di KLIA.

Saya dan Farhana keluar ke Main Bazaar untuk membeli sedikit cenderamata. Saya membeli key chain, kuih cincin, T-shirt dan pes laksa Sarawak.

Farhana di Kuching Riverfront

Mural @ Kuching Riverfront





Berlatar belakang Tua Pek Kong Temple

Mural di belakang Grand Margherita Hotel



Saya membeli Mee Jawa Rabak Special yang dimakan bersama satay. Must try kalau pergi Kuching.



Saya memberitahu receptionist untuk check out lambat sedikit iaitu pada pukul 12:30 tengahari.
Selepas berkemas kali terakhir, kami pun check out. Kami menaiki GrabCar ke Lapangan Terbang Kuching.

Saya terus print boarding pass dan luggage tag di kiosk AirAsia. Kemudian, check in luggage dan melalui proses imigresen. Kemudian, kami makan di Food Court di dalam balai pelepasan sebelum menaiki pesawat.





Penerbangan kami lewat 30 minit daripada jadual asal. Pada pukul 3:45 petang, kami bertolak ke Kuala Lumpur. Setelah selesai urusan penebusan bagasi, kami pun menaiki GrabCar untuk pulang ke rumah.



Selamat tinggal, Kuching. Percutian ini meninggalkan kenangan indah kepada kami kerana dapat bercuti beramai-ramai bersama keluarga. Semoga kami dapat melancong bersama ke tempat lain pada masa hadapan.

Arrangement dan bajet :

Tiket penerbangan pergi balik KL-Kuching : RM950.00
- Tiket untuk 5 orang (RM650),seorang RM130
- Makanan dan minuman ditempah online
- Luggage, pergi 15 kg, balik 2 x 20 kg
Booking online MATTA Fair March 2017

Hotel : RM1000.00
3 malam x 3 bilik @ Grand Margherita Hotel without breakfast
Untuk semalam anggaran dalam RM120/room
Booking melalui Agoda.

Transportation
GrabCar return house - KLIA2 : RM150
Teksi Kuching Airport - hotel : RM30
GrabCar hotel - airport : RM11
Van lawatan sekitar bandar Kuching : RM320
Saya booking melalui travel agent. Boleh dapat lebih murah jika direct contact.
Van ke Serikin & Semenggoh : RM280

Jadi setiap seorang dikenakan bayaran sebanyak RM280 merangkumi:
- Return aiport
- Penginapan 3 malam di Grand Margherita
- 2 hari lawatan di sekitar bandar Kuching, Serikin dan Semenggoh


Tips

- Kubah Ria (Pasar Satok) dibuka pada hujung minggu
- Weekend Border Market juga dibuka pada hujung minggu
- Waktu makan Orang Utan di  Semenggoh Wildlife ialah pada pukul 9.00-10.00 pagi dan3.00-3.30 petang. Elakkan melawat pada musim buah.


Must try 

Laksa Sarawak, Mee Kolok, Mee Jawa, Midin, Manok Pansuh, Ice Cream Gula Apong

Must Buy @ Souvenir

Kek Lapis Sarawak, Terubuk Masin, Pes Laksa Sarawak, Mee Kolok, Key Chain, Beg Anyaman, barangan hasil hutan, T-shirt, Kain Pua dan banyak lagi


Semoga perkongsian ini memberi manfaat untuk merancang percutian ...

Tuesday, 7 November 2017

Day 3 - 4H3M Kuching, 27/10/17 - 30/10/17

Day 3

Itinerary 

7:30 pagi
Sarapan di Mc Donald di depan hotel

8:00 pagi
Melawat ke
- Serikin Border Market
- Makan tengahari di Bau
- Kedai Menjual Tikar Sarawak
- Semenggoh Wildlife Centre
- Ice Cream Gula Apong

Pasar Minggu Serikin 


Serikin adalah sebuah perkampungan kecil di Bau. Pada hujung minggu para peniaga dari seluruh sempadan Sarawak dan kawasan berdekatan datang untuk menjual barangan dan produk mereka. Barang-barang yang dijual di sini termasuklah sarung tangan asli Indonesia, barangan rumah, buah-buahan, sayur-sayuran, makanan laut, barangan antik, tumbuhan hiasan liar, orkid eksotik, buah-buahan eksotik, pakaian, beg, makanan tempatan (kuih) dan cenderamata untuk dibawa pulang sebagai kenangan.

Pasar Minggu Serikin yang terletak di Kampung Serikin Jagoi, Bau dibuka setiap hujung minggu. Merupakan destinasi hujung minggu yang popular di kalangan penduduk tempatan dan pelancong dari Semenanjung Malaysia, Singapura dan Brunei. Pasar ini dibuka pada petang Jumaat sehingga tengahari hari Ahad.

Boleh diakses melalui Jalan Bau-Serikin. Perjalanan dari bandar Bau mengambil masa sekitar 45 minit dan sejam dari bandar Kuching . Tidak ada bas awam ke sini. Pengunjung boleh menggunakan pengangkutan sendiri, mengikuti lawatan yang dianjurkan oleh pengendali pelancongan atau menyewa teksi dari bandar Kuching.

Adalah lebih baik untuk datang awal pagi Sabtu semasa matahari belum terik dan kurang sibuk untuk memberikan keselesaan memilih barangan dan tawar menawar.

Pengunjung wanita pasti tidak akan ketinggalan membeli pakaian siap dijahit dan pelbagai jenis tekstil. Beg tangan juga turut dijual di sini. Pastikan anda menggunakan skil tawar menawar untuk mendapatkan barangan pada harga yang murah.






Minyak tanah digunakan sebagai bahan bakar yang mendidihkan air menjadi wap yang akan menggerakkan replika bot ini. Saya tidak membeli kerana sukar untuk mendapatkan bekalan minyak tanah di samping operasi yang agak sukar.

Menikmati air tebu untuk menghilangkan dahaga dalam cuaca yang panas terik









Saya membeli buah salak, mainan untuk anak-anak, ikan tenggiri masin, ikan talang dan udang kering.

Selepas puas membeli belah, kami berhenti makan di sebuah restoran makanan Melayu di Bau.
Pemandu pelancong mencadangkan agar mencuba udang galah. Makanan kegemaran kami.
Udang galah yang telah dimasak dijual seekor RM15-18. Jauh lebih murah daripada kedai Mamak.
Masakannya memang sedap, menepati citarasa dan harga yang berpatutan. Amat disarankan untuk pengunjung ke sini.







Selepas makan, kami dibawa ke kedai menjual tikar Sarawak sementara menunggu waktu untuk melawat Semenggoh Wildlife Centre. Ini adalah kerana waktu makan haiwan di pusat itu adalah pada pukul 3:00 petang.

Semenggoh Wildlife Centre

Selama lebih dari 20 tahun, penjaga di sini melatih anak orang utan yang telah kehilangan ibu dan berjaya diselamatkan untuk bertahan hidup liar. Program ini telah berjaya menambah populasi orang utan di sini. Walaupun telah dipindahkan ke Pusat Hidupan Liar Matang, tetapi Semenggoh masih menjadi rumah bagi orang utan separuh liar dan bayi orang utan. Orang utan menghabiskan sebahagian besar masa di hutan dan kembali ke pusat pada waktu makan. Pada musim buah, orang utan tidak kembali ke pusat kerana mendapat bekalan makanan mencukupi di hutan. Ini memberi petanda baik ke arah pemulihan penuh hidupan liar.

Masa terbaik untuk melawat adalah semasa sesi makan tengah hari dan petang apabila terdapat peluang yang baik untuk melihat orang utan separuh liar yang kembali ke Pusat untuk makan. Waktu makan berlangsung antara 9.00-10.00 pagi dan  3.00-3.30 petang.


Kami diberi taklimat tentang Pusat Hidupan Liar dan arahan yang perlu dipatuhi di sini.
Kemudian, memulakan jungle trekking sejauh 200 meter untuk sampai ke tempat memberi makan.












Website : https://www.sarawakforestry.com/parks-and-reserves/semenggoh-nature-reserve/


Selepas sesi memberi makan, kami bertolak balik ke bandar Kuching.


Ice Cream Gula Apong

Sebelum menamatkan lawatan, pemandu pelancong membawa kami menikmati Ice Cream Gula Apong. Lokasinya berdekatan hotel penginapan kami.









Facebook:
DP Ice Cream Gula Apong Padungan -KapitHotel
https://web.facebook.com/DP-Ice-Cream-Gula-Apong-Padungan-KapitHotel-454317911395655/

Selepas Google, saya jumpa cawangan di Kampung Baru. Nak bawa Mama pergi ...
DP Ice Cream Gula Apong
https://web.facebook.com/dpicecreamgulaapong/


Selepas puas menikmati keenakan Ice Cream Gula Apong, kami pun pulang ke hotel.
Aktiviti malam ini, berkemas untuk pulang ke KL.

Nantikan aktiviti Hari 4 dan juga contact serta tips-tips yang akan saya kongsikan.