Tuesday, 6 December 2022

DAY 2 : 2 Hari 1 Malam PANGKOR - 22-23 JULY 2022

DAY 2 : 2 Hari 1 Malam PANGKOR  - 22-23 JULY 2022

Bangun pagi, terus ke balkoni melihat pemandangan indah pada waktu pagi.
Kemudian, kejutkan Luqman dan Farhana kerana mereka nak mandi di kolam renang. Bangun saja, Luqman  keluar ke balkoni untuk memanggil kawannya, Adam yang berada di bilik sebelah.

Luqman dan Farhana menukar baju mandi dan turun ke kolam renang.
Baru beberapa minit mandi, hujan turun. Keempat-empat berlari naik ke bilik.
Tukar semula baju dan turun bersarapan di The Mariner. 

Buffet Breakfast :
Dewasa         : RM30 nett
Kanak-kanak: RM18 nett

Selepas makan, hujan berhenti. Anak-anak menukar baju mandi dan terjun ke kolam renang.Sambil melihat anak-anak mandi, saya dan kawan berbincang tentang Wish List percutian seterusnya.

Lebih kurang pukul 11:15 pagi, kami naik ke bilik untuk mandi dan bersiap untuk daftar keluar (check out).

Pukul 12:00 tengahari, kami check out dan menelefon pemandu van untuk membawa kami mengelilingi pulau.

ROUND ISLAND TOUR
RM100/van untuk 2 jam
Kami ambil 3 jam. Tambah RM30. 

TEMPAT YANG KAMI DILAWATI:
1. Buaian Pasir Bogak
2. Menara Tinjau Teluk Ketapang
3. Teluk Nipah
4. Menara Tinjau Teluk Dalam
5. Pembuatan Bot
6. Masjid Seribu Doa / Masjid Al Khairiah @ Sungai Pinang Kecil
7. Fu Lin Kong Temple / Mini Great Wall of China
8. Kilang Hasil Laut Pak Su
9. Masjid Terapung Pulau Pangkor (Masjid Seribu Selawat)
10. Batu Bersurat Pangkor / Tiger Rock
11. Kota Belanda


BUAIAN PASIR BOGAK

Tempat lawatan  pertama  ialah Buaian Pasir Bogak.
Semasa dalam perjalanan pulang dari Teluk Nipah, kami ternampak buaian yang menghadap laut ini. 
Pemandu van beritahu semasa lawatan Pusing Pulau boleh meminta berhenti  di sini untuk bergambar.
Buaian ini terletak di Pasir Bogak tidak jauh dari resort.






MENARA TINJAU PASIR BOGAK

Menara tinjau ini terletak dalam perjalanan melalui jalan berbukit bakau ke Teluk Nipah.
Di kawasan ini terdapat banyak monyet.
Kami tidak dapat naik ke atas menara kerana takut monyet.
Oleh kerana lokasi di atas bukit, pemandangan di sini sangat cantik dengan kehijauan hutan dan lautan biru.





Menara Tinjau Pasir Bogak



TELUK NIPAH

Kemudian kami melalui kawasan Teluk Nipah.
Teluk Nipah merupakan kawasan pantai paling sibuk di Pangkor kerana di sini terdapat banyak chalet, penginapan budget, kedai makan, kedai serbaneka, cenderamata dan pusat aktiviti / sukan air seperti Island Hoping, snorkeling, banana boat, jet ski, memancing, jungle trekking, ATV, pukat tarik dan memberi makan burung enggang .

Kebanyakan pelancong suka bermalam di sini kerana kemeriahan pantai, kemudahan fasiliti dan terdapat banyak penginapan budget. 

Jika di Pasir Bogak lebih banyak penginapan sederhana dan mewah serta kedai makanan Cina, Teluk Nipah menyediakan penginapan budget sehingga sederhana dan banyak terdapat kedai makan Melayu di sini.

Tidak hairanlah jika pantai ini dipenuhi pelancong pada hujung mingu, cuti am dan cuti sekolah.

Jika merancang untuk bercuti di sini terutama pada masa puncak (peak period), pastikan anda membuat tempahan bilik lebih awal.

Tempahan boleh dibuat dengan menelefon terus ke resort, melalui ejen atau paling mudah melalui tempahan online,

Tempahan online boleh dibuat melalui Agoda. Booking.com dan lain-lain.


MENARA TINJAU TELUK DALAM

Oleh kerana kami takut monyet yang memonopoli Menara Tinjau Pasir Bogak, pemandu memberhentikan kami di Menara Tinjau Teluk Dalam. Dapatlah kami menaiki dan bergambar di atas menara.

Bergambar di atas Menara Tinjau Teluk Dalam


Dalam perjalanan, saya bercerita tentang Teluk Dalam Beach Resort yang pernah menjadi lokasi penggambaran Senario Beach Boy suatu ketika dulu. Tapi sayangnya resort yang gah suatu ketika dulu telah ditutup pada sekitar tahun 2015.

Dalam perjalanan, kami dapat melihat resort ini yang ditinggalkan usang dan penuh semak samun. Luqman, Farhana dan Adam sibuk bercerita tentang video misteri resort ini yang dirakam oleh paranormal lalu diupload di Youtube. 

Jari ini laju pula mencari cerita dan gambar Teluk Dalam Beach Resort. Ada satu blog yang menceritakan pengalaman misteri yang dialami pekerja dan tetamu di sini.

Kalau sesiapa ingin melihat video semasa resort ini masih beroperasi dan selepas penutupan serta video misteri Teluk Dalam Beach Resort, boleh saja mencari di Youtube.


HASIL LAUT PAK SU

Selepas melewati kawasan Teluk Dalam, kami melalui Jalan Teluk Kecil. 
Di sini terdapat sebuah pusat menjual hasil laut dimiliki Muslim di pulau ini.
Pelbagai produk hasil laut  dijual di sini seperti satay ikan, sotong kering, ikan bilis, ikan kering dan lain-lain.

Tidak perlu was-was semasa membeli hasil laut di sini kerana bab kebersihan dan kehalalan amat dititik beratkan. Pengunjung boleh melihat makanan diproses di sini menggunakan teknologi canggih sambil mengekalkan keenakan rasa.

Jika bercuti ke Pulau Pangkor, pastikan singgah di Kedai Hasil Laut Pak Su membeli cenderahati untuk dibawa pulang. 

Jika ingin melihat lokasi dan hasil laut yang dijual, boleh klik FB Sate Ikan Paksu


SUNGAI PINANG KECIL 

Dalam perjalanan ke destinasi seterusnya, kami melewati Sungai Pinang Kecil terletak di bahagian timur Pulau Pangkor. Majoriti penduduk di sini kebanyakannya orang Cina. 

Sungai Pinang Kecil merupakan tempat pembuatan bot utama di Pulau Pangkor selain tempat pemprosesan hasil laut. 

Seperti kebanyakan perkampungan Cina, banyak kuil didirikan di sini. Namun yang paling menarik di celah-celah perkampungan Cina, terdapat sebuah masjid yang sangat cantik dengan gabungan pengaruh Cina dan sentuhan Islamik.


KILANG MEMBUAT BOT 

Kilang membuat bot terletak di Sungai Pinang Kecil. Kilang ini terletak di tepi laut. Kami tidak turun melihat proses pembuatan bot dan hanya berkesempatan melihat dari dalam van.




Destinasi seterusnya ialah Masjid al-Khairiah. Kebetulan semasa kami sampai sini hampir masuk waktu Zohor, kami mengambil kesempatan untuk bersolat di sini. 


MASJID SUNGAI PINANG KECIL @ MASJID AL-KHAIRIAH @ MASJID SERIBU DOA

Masjid al-Khairiah  yang terletak di Sungai Pinang Kecil siap dibina pada tahun 2020.  Masjid ini dibina semula rentetan daripada pembinaan Masjid al-Badr atau dikenali juga sebagai Masjid 1000 Selawat yang terletak di Telok Gadong, Pangkor. Masjid ini dibina dengan mengekalkan nama asalnya dan menjadikan doa sebagai konsepnya. Dengan sebab itu, Masjid Al-Khairiah atau Masjid Sungai Pinang Kecil turut digelar Masjid Seribu Doa.

Dibina di kawasan majoriti penduduk berbangsa Cina. Masjid ini sangat istimewa terutama buat penduduk di Pulau Pangkor kerana direka dengan gabungan pengaruh seni oriental Cina dan sentuhan Islam. 

Masjid berwarna merah putih ini berbumbung hijau seperti rumah Cina pada zaman dahulu. Melangkah masuk ke dalam masjid ini, pengunjung akan melalui pintu masuk berbentuk bulat. Pengunjung akan terpegun melihat keindahan hiasan karpet dengan corak yang cantik dan seni khat yang menghiasi dinding masjid. 

Seni khat dan kaligrafi di masjid ini berkisar tentang himpunan doa daripada ayat al-Quran, hadis dan doa yang dikumpulkan daripada ulama muktabar. Hasil kaligrafi di masjid ini hasil sentuhan tangan khatat (penulis khat) anak Melayu tempatan. Asma’ al-Husna di tiang masjid pula ditulis dalam bentuk kaligrafi Cina. Dekorasi  masjid ini turut mengaplikasi pelbagai pola motif tumbuhan dan geometri yang terdapat di negara China dan negeri Perak. 

Di bahagian belakang masjid pula terdapat sebuah perigi lama tinggalan daripada keluarga mantan Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah bin Ahmad Badawi dan perigi tersebut menjadi sumber air buat masyarakat setempat. Justeru, perigi tersebut termasuk dalam ruangan halaman masjid.

Sekiranya berkunjung ke Pulau Pangkor, jangan lepaskan peluang untuk melihat sendiri keindahan dan keunikan masjid ini. 






Photo Credit : Google Map @ Mohamado Sare


Photo Credit : Google Map @ Muhammad Aiman Hanis Abd Samat

Photo Credit : Google Map @ Mukammad Aiman Hanis Abd Samat

Hasil carian di Google Map, inilah gambar Masjid al-Khairiah yang asal sebelum dibina masjid baru.
Photo Credit : Google Map


Pemandangan dari atas. Masjid ini terletak di perkampungan masyarakat Cina berdekatan laut.
Photo Credit : Yayasan Restu


Pengembaraan kami diteruskan dengan melawat Kuil Fu Lin Kong.


KUIL FU LIN KONG

Kuil Fu Lin Kong yang terletak di pantai timur Pulau Pangkor adalah kuil Tao terbesar di pulau ini. Terdapat sebilangan orang Cina di Pulau Pangkor yang berpegang kepada doktrin Tao. Kuil ini merupakan pusat pemujaan Taoisme iaitu agama yang mengikut ajaran Lao Tze, seorang ahli falsafah Cina yang hebat. Kuil Fu Lin Kong adalah salah satu tarikan pelancong yang paling popular di Pulau Pangkor.

Kuil ini dibina di kaki bukit Pangkor di perkampungan Sungai Pinang Besar, sebuah penempatan orang Cina (Kampung Cina), telah menarik minat pengunjung yang ingin mengambil gambar dengan landskap yang indah  berlatar belakang tipikal Pangkor dengan pemandangan perkampungan Cina dengan bumbung pelbagai warna dan lautan yang membiru.

Kuil yang berusia lebih daripada seratus tahun ini dihiasi dengan batu besar, pintu gerbang yang indah dan dinding kuil yang megah. Di sini juga terdapat taman mini Tembok Besar China yang dibina di belakang dewan kuil. Di dalam kuil juga terdapat patung Buddha. 

Kolam, jambatan dan taman permainan kanak-kanak menambahkan keindahan kuil ini. Landskap indah Mini Tembok Besar Cina dan menara dibina di atas bukit menyajikan pemandangan indah yang memukau.

Bagi yang minat 'berselfie', jangan lepaskan peluang bergambar dengan berlatar belakang kuil dengan bumbung merah, kolam dan jambatan tidak ubah seperti berada di negara China.

Lengkapkan percutian di Pangkor dengan mengunjungi Kuil Fu Lin Kong dan jangan lupa mengabadikan gambar kenangan di sini. 



Bergambar di menara di atas bukit


Pemandangan dari atas bukit


Bergambar di atas bukit


Seperti berada di negara China


Luqman dan Adam gembira bermain di taman 













Berehat di bawah pokok sambil makan ais krim






Farhana gembira bermain gelongsor


Bergambar di bawah gelongsor besar


Adam membantu Apek mengangkat 'ikan besar' 


Jika tadi kami melawat masjid dengan gabungan senibina Cina, kali ini kami akan melawat Masjid Terapung Pangkor atau Masjid Al-Badr.


MASJID TERAPUNG PANGKOR @ MASJID AL-BADR @ MASJID SERIBU SELAWAT

Jika Terengganu cukup terkenal dengan Masjid Kristal, negeri Perak pun tidak kurang hebat dengan adanya Masjid Seribu Selawat yang dibina di Pulau Pangkor. Pembinaan Masjid Al-Badr Seribu Selawat bukan sahaja sebagai tempat ibadat tetapi ia adalah satu monumen baru yang menjadi salah satu tarikan Pulau Pangkor. 

Masjid yang terletak di Kampung Teluk Gedong siap dibina pada tahun 2016  boleh memuatkan 1,500 jemaah pada satu masa. Keunikan masjid ini terletak pada kedudukannya yang dibina di atas air laut selain keindahan senibina yang mengenengahkan identiti negeri Perak pada setiap geometri hiasan dalaman dindingnya yang diilhamkan daripada bunga tekat yang juga simbol bagi negeri Perak.  Masjid ini juga merupakan masjid terapung pertama yang dibina di negeri Perak.

Selain dipanggil Masjid Terapung, Masjid al-Badr ini turut dikenali sebagai Masjid Seribu Selawat kerana dinding-dinding masjid ini dipenuhi dengan ukiran dan dan tulisan 1,000 Selawat.

Jika sampai ke Pulau Pangkor, carilah peluang untuk menunaikan solat di Masjid Al-Badr Seribu Selawat ini dan nikmatilah keindahan dan keunikan seni bina masjid ini.

Di atas jambatan menuju ke masjid



Farhana dan Adam di atas jambatan dengan latar belakang laut yang membiru



Di pintu masuk masjid




Berlatarbelakang pintu dan dinding dengan ukiran selawat


Di belakang masjid, terdapat batu berbentuk seperti gajah dan belalai


Batu berbentuk seperti gajah dan jika dilihat dari sisi berbeza kelihatan seperti singa






Selepas melawat Masjid al-Badr ini, kami berhenti untuk makan tengahari. 
Oleh kerana kami telah terlambat untuk makan, tidak ada banyak pilihan dan pemandu van mencadangkan kami makan di Medan Selera yang terletak di depan Masjid Terapung ini.

Kami memesan nasi ayam, cendol, laksa dan air buah. Rasanya biasa biasa saja. Bolehlah untuk mengalas perut.




Seterusnya, kami akan ke dua destinasi terakhir iaitu Batu Bersurat Pangkor @ Tiger Rock dan Kota Belanda sebelum pemandu van menurunkan kami di Jeti Pangkor.



BATU BERSURAT PANGKOR @ TIGER ROCK

Batu Bersurat Pualu Pangkor terletak di Kampung Teluk Gedung iaitu 100 meter daripada lokasi Kota Belanda. Ditulis dengan grafiti yang dibuat oleh tentera Belanda pada tahun 1700-an. Askar-askar ini berpengkalan di Kubu Belanda pada tahun 1743-1748 dan tarikh 1743 diukir di atas batu sebanyak lima kali.

Penduduk tempatan mengatakan bahawa dahulunya batu ini bersaiz lebih kecil daripada sekarang dan secara tidak lansung percaya yang batu ini seolah-olah hidup kerana ia mampu membesar dari saiz asalnya yang agak kecil. Bumbung dibina untuk melindungi monumen bersejarah ini daripada cuaca yang boleh merosakkan ukiran di batu.

Di atas batu terdapat lukisan utama menggambarkan seekor harimau menyerang budak lelaki, grafiti tentang tahun dan ukiran yang dikatakan singkatan dari perkataan Belanda serta Inggeris.
Pelbagai versi tentang ukiran gambar harimau. Antaranya mengatakan anak pembesar Belanda telah yang hilang telah dibaham harimau . 

Dalam versi lain ada mengatakan anak pembesar itu bukan dibaham harimau tetapi dilarikan oleh pembesar Melayu yang ingin menakutkan orang Belanda dan mengusir penjajahan dan pendudukan Belanda di Pulau Pangkor. Dikatakan ukiran harimau menggambarkan semangat orang Melayu yang menentang Belanda.










KOTA BELANDA

Kota Belanda ini telah dibina oleh Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) pada tahun 1670 untuk menyimpan bijih timah yang diperolehi dari negeri Perak. 

Pada tahun 1690, rakyat tempatan yang tidak bersetuju dengan cara Belanda memperolehi bijih timah tersebut dan telah membinasakan kota ini . 

Selepas dimusnahkan, pada tahun 1749 Belanda telah membinanya semula dan menempatkan seramai 80 orang pengawalnya di sini. 

Selepas tahun 1779 Kota Belanda tidak digunakan lagi kerana Belanda menumpukan kepada perdagangan rempah di Maluku, Indonesia. Belanda juga berhadapan dengan Perang Napoleon di Eropah . 

Pada 1824 Belanda dan Inggeris secara rasmi membahagikan wilayah penguasaan masing-masing di Nusantara menerusi Perjanjian Inggeris-Belanda 1824.

Pada 1973, kota ini telah dibina semula oleh Jabatan Muzium dan telah diwartakan sebagai monumen lama dan tapak tanah bersejarah di bawah Akta Bendapurba 1976 dalam Seksyen No. 247 , Warta Kerajaan Negeri Perak bertarikh 31 Mac 1970.
 
Pada 1997, kerajaan negeri Perak telah memajukan lagi kawasan ini sebagai kawasan pelancongan negeri Perak. Beberapa buah rumah limas tradisional negeri Perak telah dibina di sini. Pelbagai gerai makanan pakaian dan cenderamata juga terdapat di sini. Beberapa bahagian kota ini telah dibaiki semula dan perkampungan nelayan Melayu berdekatan telah diperindahkan.










Selepas selesai lawatan kami, pemandu van bertanya jika kami ingin singgah membeli belah di Kedai Bebas Cukai. Memandangkan telah kesuntukan masa dan ingin pulang awal, kami meminta untuk menghantar ke jeti.

Kami menempah tiket untuk pulang. Tiket pergi (jika membeli tiket dua hala) perlu diserahkan untuk menukar tiket pulang yang baru. Pastikan tiket pergi disimpan untuk mendapatkan tiket pulang dan juga untuk pemeriksaan Kastam jika membeli belah di Kedai Bebas Cukai. Bayaran tambang sehala dikenakan kepada penumpang yang kehilangan tiket feri.

Untuk pengecualian cukai, pengunjung ke Pulau Pangkor mesti berada di dalam pulau selama sekurang-kurangnya 24 jam atau bermalam di sini.

Tiket pulang pada pukul 5:00 petang. Kami mempunyai masa lebih kurang 15 minit untuk membeli belah di Kedai Bebas Cukai yang terletak di Pekan Pangkor tidak jauh dari jeti.

Kami bergegas ke Kedai Bebas Cukai untuk membeli coklat. Harga coklat yang dijual lebih kurang seperti di Kedai Bebas Cukai yang terdapat di Langkawi.

Selepas puas membeli belah, kami terus menuju ke jeti untuk pemeriksaan Kastam dan menaiki feri untuk ke Jeti Lumut. Nasib kami agak baik kerana kami mendapat tempat duduk di bahagian belakang sekali. Jika terlambat, kami terpaksa menaiki feri yang seterusnya dan terpaksa menunggu lama di jeti.

Sesampainya kami di Jeti Lumut, kami terus bergegas ke Stesen Bas Lumut untuk membeli tiket balik. 
Kami mendapat tiket pulang pada pukul 6:00 petang. Tiket bas berharga RM30/orang. Tiada tiket konsesi untuk kanak-kanak kerana kami menaiki bas VIP.

Luqman yang tidak sihat tidur di sepanjang perjalanan. Bas ada berhenti untuk penumpang ke tandas.

Perjalanan memakan masa lebih kurang 4 jam. Lebih kurang pukul 10:00 malam, kami tiba di Stesen Bas Jalan Duta dan kami turun di sini walaupun tiket kami sehingga TBS.

Selepas PKP, tiada lagi perkhidmatan teksi berkupon disediakan. Namun, penumpang yang turun di Jalan Duta boleh mendapatkan teksi yang menunggu di sini atau menggunakan khidmat e-hailing.

Oleh kerana hanya sebuah teksi terdapat di sini dan kami ingin pulang cepat, kami menaiki sebuah saja teksi MPV yang boleh menghantar ke dua destinasi berbeza iaitu di Ampang Jaya dan Bandar Baru Ampang. Kami bersetuju dengan tambang RM60 yang telah ditetapkan termasuk tol.

Perjalanan memakan masa lebih kurang 30 minit. Pemandu teksi menghantar saya dulu dan kemudian menghantar kawan saya.

Berakhirlah percutian 2 Hari 1 Malam kami di Pulau Pangkor yang meninggalkan memori indah buat kami semua.

Semoga kami dapat berpeluang menjejakkan kaki ke Pangkor lagi untuk mencuba aktiviti lain atau bercuti bersama keluarga dan kawan-kawan.

Semoga catatan perjalanan ini dapat bermanfaat dan serba sedikit memberi idea kepada bakal pengunjung Pangkor mahupun pengunjung yang ingin berkunjung lagi ke sini.

Jumpa lagi dalam catatan perjalanan saya dalam Siri Jelajah Cuti Cuti Malaysia yang akan datang.