Wednesday, 10 May 2017

Taman Tasik Titiwangsa, 06/05/2017

Minggu lepas saya berpeluang membawa Luqman dan Farhana ke Taman Tasik Titiwangsa.
Selepas bersarapan, kami bertolak dengan menaiki kereta. Berkunjung pada waktu pagi  untuk mengelakkan cuaca panas. Waktu petang pula selalu hujan.

Perjalanan dari Ampang ke Taman Tasik Titiwangsa agak lancar pada pagi Sabtu. Terletak berhampiran Istana Budaya dan lokasi di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Boleh diakses melalui Jalan Tun Razak dan Jalan Pahang. Pengangkutan awam turut disediakan untuk kemudahan pengunjung.

Taman Tasik Titiwangsa adalah taman rekreasi yang sesuai untuk keluarga dan menjadi pilihan warga kota berehat pada hujung minggu. Pertandingan memancing  diadakan di sini pada setiap tahun.
Taman rekreasi ini juga merupakan salah satu lokasi sukan dan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak Dewan Bandararaya Kuala Lumpur.

Pada awal pagi, pengunjung boleh mengambil gambar matahari terbit sambil menghirup udara segar. Bersiar-siar dan berjoging adalah pengalaman yang menyeronokkan kerana taman rekreasi ini dijaga dengan baik. Dilengkapi dengan gelanggang tenis, taman permainan kanak-kanak,trek berjoging, padang bola sepak, menara tinjau, aktiviti sukan air, tandas, surau, dewan, pondok rehat dan restoran.

Gerai-gerai menjual makanan dan minuman banyak terdapat di sekitar tasik. Kawasan lapang yang luas sesuai untuk berkelah dan bersukan seperti berbasikal atau bermain badminton.

Ada juga pasangan pengantin yang mengabadikan pengambaran foto perkahwinan mereka di sini. Sewaan tapak untuk majlis keraian juga disediakan di sini.

Di tepi tasik, kami melihat pelbagai jenis basikal untuk disewa. Dari yang kecil untuk kanak-kanak sehinggalah yang berangkai untuk dinaiki oleh 3 orang. Ada juga yang seperti beca untuk seisi keluarga. Pilih saja mengikut bajet masing-masing. Sewaan skuter dan roller blade juga ada disediakan di sini.

Luqman dan Farhana hendak menaiki kereta kuda dan menunggang kuda. Selepas parkir kereta, saya terus membeli tiket menaiki kereta kuda. Mencari parkir kereta tidaklah terlalu susah pada waktu pagi kerana terdapat banyak parkir percuma.

Kadar bayaran menunggang kuda dan menaiki kereta kuda di sini murah dan berpatutan kerana diuruskan sendiri oleh pihak Taman Tasik Titiwangsa untuk kemudahan pengunjung tanpa mengambil keuntungan. Satu usaha yang baik untuk menarik pengunjung berekreasi di sini.

Melihat saja papan tanda kadar bayaran untuk menunggang kuda dan menaiki kereta kuda, tanpa teragak-agak terus membeli tiket untuk kami bertiga. Tidak sampai RM10.00, kami merasai pengalaman seperti golongan bangsawan menaiki kuda dan ala-ala Puteri Diana menaiki kereta kuda semasa majlis perkahwinannya dulu. Berangan sekejap, sambil melupakan kesibukan kerja setiap hari.












Selepas itu, Luqman dan Farhana ingin menaiki basikal panjang 3 tempat duduk. Saya tidak berani menunggang basikal dengan membawa anak-anak kerana risau hilang kawalan. Takut pula jika terlajak ke tasik. Kadar sewa basikal itu ialah RM20 sejam. Saya mengambil keputusan untuk menyewa basikal seperti beca yang berbumbung. Sewa yang dikenakan adalah RM40 untuk sejam. Disebabkan saya ada rancangan lain selepas itu, saya menyewa beca untuk tempoh 30 minit dengan kadar sewa RM25.

Saya mengayuh 'beca' mengelilingi tasik. Risau tidak dapat menepati masa, saya mengayuh 'beca' dengan laju. Kami mengambil masa 15 minit mengelilingi tasik. Berpeluh-peluh juga saya mengayuh "beca'. Selepas itu, kami membeli minuman dan meninggalkan taman rekreasi ini.



Destinasi kami seterusnya ialah mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang diadakan di PWTC pada setiap tahun. Pengunjung terlalu ramai dan keadaan sesak. Saya membeli beberapa buah buku pra sekolah untuk Luqman.

Selepas itu, makan tengahari di restoran kegemaran kami iaitu Sushi King di Sunway Putra Mall yang terletak di hadapan PWTC.


Selepas menjamu selera, kami pulang ke rumah dengan perasaan puas dan gembira.


Seperti biasa, saya kongsikan sedikit info tentang tempat yang saya lawati untuk rujukan dan panduan pengunjung blogspot ini.


Taman Tasik Titiwangsa:

Alamat 
Tasik Titiwangsa,
53200 Kuala Lumpur,
Malaysia


Telefon
+603 2617 6273


Faks
+603 2698 3819


e-mel
pelancongan@dbkl.gov.my


Laman Web
http://kuala-lumpur.attractionsinmalaysia.com/Titwangsa-Lake-Gardens.php


Waktu Dibuka
Waktu siang


Cara ke sana

  • Menaiki bas RapidKL yang melalui Jalan Pahang. Berhenti di stesen bas berdekatan dan berjalan kaki ke Tasik Titiwangsa. 
  • Menaiki teksi, GrabCar atau Uber.
  • Menaiki monorel dan STAR LRT, turun di stesen Titiwangsa dan berjalan kaki. 


Tips :

  • Untuk menjimatkan belanja, bawa basikal, roller blades, skuter, raket badminton,piring terbang, bola dan permainan yang terdapat di rumah. 
  • Pergi pada awal pagi dan waktu petang untuk mengelakkan cuaca panas.
  • Rujuk laman web Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk melihat aktiviti yang dijalankan di sini.
  • Jika bercadang untuk berkelah bersama keluarga, bawa makanan yang ringkas dan minuman. Pondok rehat dan kawasan lapang banyak terdapat di sini.


Semoga perkongsian info ini bermanfaat untuk merancang aktiviti bersama keluarga pada hujung minggu....